Jangan Jadi Mangsa

Satu: Wanita yang terlalu mudah mempercayai lelaki.

Dah sayang la katakan… jadi apa sahaja yang lelaki/pasangan katakan, kepercayaan adalah seratus peratus. Bukan maksud saya percaya separuh-separuh atau percaya pasangan jangan sampai 100%, tetapi maksud saya mudah percaya yang membuta-tuli dan menerima apa sahaja tanpa menggunakan akal fikiran yang waras adalah amat tidak wajar.

Contoh mudah: Pasangan anda berkerja sebagai seorang kerani dan gaji bulanannya sebanyak RM1000.00 sebulan bersih(dah ditolak KWSP dsb.). Anda pula memang tahu status kewangan dan “pattern” perbelanjaannya. Dia ada banyak tanggungjawab, bil-bil untuk dijelaskan setiap bulan dan sebagainya. Kira gajinya cukup-cukup sahaja.
Satu hari dia membelikan anda cincin emas berharga RM700.00. Anda tanya, “Mana dapat duit?”. Dia kata, lama dah simpan khas untuk “surprise”kan anda. Oklah, boleh terima.

Bila anda tengok pakaiannya pula berjenama. Dia mula “shopping sakan” dan anda pun dia belikan bermacam barangan lagi. Anda tanya lagi, “Mana dapat duit?”. Dia kata, “ada la “bisnes” dengan kawan…” Anda pun percaya terus…

Soalan di sini, dalam senario di atas, tidakkah anda rasa musykil dan bermacam soalan lagi bermain dalam kotak fikiran tentang jawapan mudah seperti itu? Atau anda tergolong dalam wanita yang terus percaya 100% tanpa banyak soal lagi?

Ingat! Lelaki yang berterus-terang dan jujur dengan pasangannya akan menyatakan, menjelaskan dengan selengkapnya tentang apa yang ditanya atau diragui oleh pasangannya. Dia tidak akan menyembunyikan apa pun kerana baginya, wanita yang disayanginya bukan sahaja tempat berkasih, malah tempat berkongsi apa sahaja. Lagi pun, nak rahsia apa, bukan dengan orang lain?

Jadi, sekiranya ada sesuatu yang anda rasa ragu-ragu, perlu ditanya kepada pasangan anda, jangan tunggu, jangan simpan. Cuma pastikan anda bertanya kepada dia pada masa dan keadaan yang sesuailah. Percaya secara total dan “semborono” boleh meletakkan anda dalam bahaya.

Contoh dalam senario di atas tadi, menjadi rakan kongsi untuk mengedar dadah adalah maksud sebenar dia berkenaan ayat, “ada la bisnes dengan kawan…”.

Kalau ini berlaku… macamana?

Dua: Wanita yang “terdesak” untuk berkahwin.

Umur yang semakin lanjut membuatkan ramai wanita yang belum berpasangan risau akan status diri. Walaupun pada zaman yang semakin canggih ini, melihat wanita yang berkerjaya lewat berkahwin adalah perkara biasa, namun majoriti wanita yang semakin meningkat umurnya risau jika masih belum mempunyai pasangan hidup.

Kerisauan terhadap faktor umur yang meningkat, tekanan ibu bapa, pandangan masyarakat, dan juga kerisauan terhadap peluang untuk mendapatkan cahaya mata yang semakin kurang jika kahwin lewat mampu menyebabkan sesetengah wanita seolah-olah “terdesak” untuk mencari pasangan hidup.

Dalam keadaan seperti ini, kadangkala mereka boleh “terlepas pandang” tentang sikap, kualiti, dan peribadi lelaki yang dipilihnya itu. Wanita yang berkahwin lewat pada zaman ini pula kebanyakannya berkerjaya secara tidak langsung membawa maksud mereka sudah mempunyai tahap kewangan yang stabil.

Ini memungkinkan mereka menjadi mangsa “buaya professional” yang sentiasa mencari peluang untuk mengambil kesempatan ke atas wanita seperti ini. Kalau anda dalam golongan wanita seperti ini, ingat… biar lambat, asal selamat!

Tiga: Wanita “sosial”.

Ini bukan sosial dari segi terlibat dengan Mercy Malaysia ke, persatuan wanita di kawasan anda ke, atau perkara yang seumpamanyalah. Sosial dalam hal ini ialah suka kepada “night life”, disko, berparti, “clubbing”, pergaulan bebas tanpa had dan hidup dengan falsafah “life is short, so have fun!”, atau “masa muda ni la nak rasa macam-macam..”. Fahamkan maksud saya?

Wanita-wanita ini (lebih ramainya gadis remaja), yang melibatkan diri dengan cara hidup bebas dan sosial seperti ini terang-terangan mendedahkan dan “mengiklankan” diri sendiri kepada “species” lelaki pemangsa wanita.
Bersosial tanpa batasan adalah di antara resepi utama yang menyebabkan ramai wanita dan gadis remaja ditipu sekaligus dirosakkan oleh lelaki yang tidak bertanggungjawab. Tepuk dada, tanya selera? Tidak.. Tanya Iman!

Empat: Wanita yang tidak pentingkan ilmu.

Wanita yang mementingkan ilmu dalam konteks percintaan, perkahwinan dan memilih pasangan hidup bukanlah bermaksud wanita yang mempunyai ijazah berjela-jela dari universiti terkenal. Bukan itu sahaja. Kalau itu yang dijadikan ukuran wanita berilmu, kenapa masih terlalu ramai wanita yang ditipu, dihina, dipermainkan, dan sebagainyalah oleh lelaki yang berbahaya?

Wanita yang berilmu dalam konteks ini ialah wanita yang mampu memandu dirinya supaya tidak “terpilih” lelaki penipu dan berbahaya. Sekiranya dia “terjebak” dengan lelaki penipu/berbahaya, dia tahu apa yang perlu dilakukan atau di mana untuk mendapatkan bantuan yang sewajarnya.

Ia juga bermaksud wanita yang mengetahui hak-haknya sebagai wanita dan sebagai seorang isteri. Wanita yang berilmu juga berani “membetulkan” keadaan dan mempertahankan haknya bila perhubungan/perkahwinannya terganggu/diganggu sama ada oleh pihak ketiga atau pasangannya sendiri.

Wanita seumpama ini mampu menjadi pasangan/isteri yang sentiasa menjadi kebanggaan pasangan/suaminya sendiri dan mempunyai segala sifat sebagai seorang yang cemerlang.

Wanita seperti ini, sentiasa cintakan ilmu. Sentiasa melengkapkan dirinya dengan ilmu selagi hayat dikandung badan.

Wanita yang mempunyai segulung ijazah atau Ph.D pun boleh ditipu dan dipermainkan lelaki “species berbahaya” ini…apatah lagi jika wanita yang hanya meletakkan 100% kebahagiaannya ke atas lelaki dan langsung tidak mahu atau mengambil mudah untuk meningkatkan ilmu dalam diri?

Lima: Wanita yang memandang “faktor fizikal”

sebagai salah satu ciri utama pada lelaki idamannya. Mudah jatuh cinta dengan lelaki handsome? Atau mungkin juga lelaki “cute”, “macho”, dan mempunyai fizikal yang begitu menggoda hati?

Ingat..semakin “handsome”, “cute”, “sexy” seseorang lelaki itu, sebenarnya semakinlah anda sebagai wanita perlu menggandakan “sistem pertahanan” diri. Kalaulah ramai wanita boleh diperdayakan oleh lelaki yang TAK “handsome” dan seumpamanya, apatah pula risiko ditipu oleh lelaki yang “handsome”?

Ingat.. “handsome”, “cute”, dan seumpamanya itu pada seseorang lelaki sepatutnya BUKAN menjadi antara ciri-ciri utama lelaki idaman wanita. Ia sepatutnya hanya menjadi ciri-ciri “bonus” lelaki idaman wanita.

Nasihat untuk wanita yang mudah “cair” dengan lelaki seperti ini, dan menjadikan lelaki seperti ini sebagai “target” utama ciri bakal pasangan hidupnya.. fikir masak-masak!

Anda mungkin sedang diperhatikan oleh “pemangsa handsome dan sexy” yang sentiasa mencari wanita untuk ditipu dan dipermainkan..

Enam: Wanita yang “sabar” tidak bertempat.

Wanita dalam golongan ini boleh kita katakan jenis yang selalu “makan hati berulam jantung”, atau mungkin juga dah sampai tahap “makan tangan berulam kaki”. Dia didera(fizikal atau perasaan), tidak dihargai, sentiasa diambil kesempatan oleh pasangan/ suaminya namun masih tetap bersama lelaki itu walaupun dia sedar dia terseksa dan tertekan.

Soalnya di sini, bila diperlakukan sebegitu, dia hanya “berharap” pasangannya akan berubah pada satu masa nanti TANPA mengambil tindakan yang sewajarnya. Tidak salah bersabar. Malah sabar adalah satu sikap yang baik, dituntut, terpuji, dan mulia. Namun demikian, sekiranya kesabaran itu akhirnya membawa mudarat terhadap diri sendiri, sesuatu perlu dilakukan.

Bersabar walau diperlakukan apa sahaja oleh lelaki/pasangan seperti ini seolah-olah memberi “lesen” kepadanya untuk terus mendera, menipu, dan menghina maruah wanita yang terlibat. Sabar, biarlah bertempat!

| | Read More »

Dua beradik dihukum gantung

Dua beradik wanita warga Iran dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi semalam, selepas didapati bersalah mengedar 2,987.7 gram syabu, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Nurchaya Arshad menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Sejurus mahkamah membuat keputusan, Fatemah Zandiyeh Mohammad, 24, dan kakaknya Tahmineh Zandiyeh Mohammad, 26, tidak menunjukkan sebarang reaksi tetapi bapa mereka yang berada di galeri awam dilihat menangis dan hampir rebah.
Fatemah dituduh mengedar 1,489.8 gram syabu di kawasan tuntutan bagasi, Aras 1, Balai Ketibaan KLIA pada 11.30 pagi, 5 Mei 2011.
Dua dituduh akta sama
Tahmineh pula dituduh mengedar 1,497.9 gram dadah jenis sama di tempat, masa dan tarikh sama.
Dua beradik itu didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang boleh dihukum mati mandatori jika sabit kesalahan.
Seramai lapan saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zainal Azwar Kamaruddin sementara dua beradik itu diwakili peguam Datuk N Sivananthan dan R Vinothini.

| | Read More »

10 Kereta Terpantas 2013

Oleh itu, satu senarai kereta terpantas pada tahun 2013 sudah dikeluarkan oleh laman Total Car Score. Senarai ini disediakan oleh Karl Brauer, CEO dan ketua editorlaman maya tersebut. Senarai ini tidak memasukkan syarikat pembuat kereta yang mempunyai kurang daripada 20 cawangan di seluruh dunia atau menjual kurang daripada 20 model per tahun di seluruh dunia. Berikut adalah senarai kereta terpantas pada tahun 2013. Jom lihat gambar di bawah ini.

| | Read More »

Bengang dengan Ainan Tasneem

DALAM orang sibuk-sibuk menilik bila tarikh pilihan raya yang tak kunjung tiba, ada pula yang bawa cerita perihal seorang penyanyi baru yang cukup manis bertudung ini. Syed ingatkan cerita apa rupa-rupanya cerita pasal Ainan Tasneem yang khabarnya dah buat hal baru-baru ini.

Apa yang dah dia buat sampai tukang cerita naik hantu ni? Syed pelik juga sebab selama ini tak banyak pun cerita tak baik pasal Ainan tapi kali ini nada tukang sampai cerita ini cukup lain berbanding biasa.

Katanya Ainan mungkir janji baru-baru ini. Dia sepatutnya mengadakan persembahan di sebuah negeri di Pantai Timur telah membatalkan undangan tersebut tanpa alasan yang jelas.

Tup-tup pada hari yang sama khabarnya kelibat penyanyi ini kelihatan di selatan tanah air pula. Macam mana pula tu? Syed rasa inilah yang menambah bara di hati penganjur tersebut.

“Memang kami bengang gila dengan Ainan yang batalkan show last minute macam ni. Bukan apa, banner dan kain rentang semua dah ada gambar dia tup-tup dia tak jadi datang.

“Kalau betul dia sakit atau ada apa-apa keuzuran tu boleh juga kita tutup mata. Yang timbul persoalan ni macam mana dia boleh muncul dekat show tempat lain pula? Sekarang yang tanggung malu kami sebagai wakil pihak penganjur juga!

“Kalau nak tahu dia yang batalkan show. Padahal pihak penganjur dan bayar wang pendahuluan untuk show tersebut. Kalau dah dia yang batal kenapa tak pulang balik wang yang diberi tu?

“Paling tidak pun pulang sahajalah wang pendahuluan. Kalau penganjur yang batalkan mungkinlah dia boleh ambil wang itu terus. Tak gitu?" kata wakil penganjur ini lagi.

| | Read More »

Pembangkang tidak minat perintah negara, hanya penuhi agenda peribadi

KUALA LUMPUR 27 Mac - Bekas Naib Presiden DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim mendakwa, pembangkang tidak berminat memerintah negara demi rakyat tetapi hanya mahu menjadi pemerintah demi memenuhi 'nafsu' segelintir pemimpin politik mereka.

Tunku Abdul Aziz mendakwa, beliau juga melihat pembangkang hanya berminat memporak-perandakan negara supaya agenda ke Putrajaya tercapai.

"Rakyat perlu bijak dan pastikan pemimpin yang menerajui Malaysia mempunyai rekod baik dan mampu menjaga kita. Anwar (Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim) khususnya, tiada pelan jangka panjang, hanya 'gila' mahu ke Putrajaya. Jangan lupa dengan rekod moralnya," katanya di hadapan lebih 300 penduduk Taman Sri Keramat Tengah dalam sesi ceramah di sini malam ini.

Ceramah itu dianjurkan Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) bertemakan Lahad Datu: Negara Terjajah dan Rakyat Tergadai. - UTUSAN

| | Read More »

Mengundi itu wajib, pilihan hak pengundi

PRU13KAJANG - Mengundi itu wajib hukumnya, namun ia bukan satu kefarduan bagi setiap umat Islam kerana langkah itu bagaikan satu kesaksian syahadah, demikian menurut Pensyarah Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Mohammad Kamil Abdul Majid. Sehubungan itu kata beliau, bukan setakat mengundi bahkan menyertai pilihan raya dan bertanding untuk membentuk kerajaan juga adalah wajib.

"... mencari pemimpin berkualiti itu mestilah seseorang amanah dan mempunyai rohani dan jasmani yang kuat," kata beliau pada Wacana PRU13: Aplikasinya Menurut Fiqh Politik Islam di Kolej Dar Al-Hikmah, di sini, malam tadi.

Kamil juga menggariskan 20 ciri utama yang perlu diberi perhatian oleh pengundi Islam bagi memilih bakal pemimpin yang akan membentuk kerajaan baru nanti.

"Pemimpin yang nak dipilih mestilah berakal, bijaksana, berani, bersih, pemurah, berlapang dada, bukan pemarah, seorang yang pemaaf bukan dendam, lemah-lembut dan budiman, menepati janji dan jujur.

"... selain boleh menyimpan rahsia, cekal hati, strategi, pandai tawar-menawar, bukan hasad dengki, bersyukur, bukan bernafsu, tidak menjadikan orang kafir sebagai penasihat, bertujuan berpolitik bukan cari keuntungan dan kemudahan diri sendiri serta jaga keadilan dan kebenaran," katanya lagi.

Tegasnya, seseorang pemimpin yang mahu dipilih nanti perlu menjaga agamanya daripada diperlekehkan, mempertahankan diri dan nyawa supaya tidak melayang begitu sahaja, berkeupayaan menjaga harta benda dan membelanjakannya secara halal dan memelihara maruah nasab keturunan umat Islam. Sementara itu, Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), Datuk Dr Siddiq Fadzil menyifatkan arena politik mula berubah kepada sistem dua parti sejak 2008.

"Orang undi berkirakan aspek 'public versus', tak terikat kepada politik perkauman.

"... rakyat mahukan politik integriti, politik berprinsip, politik idealisme, politik nilai dan bukan politik perkauman," katanya.

Malah katanya, tindakan Barisan Nasional (BN) tidak wajar mempersoalkan rakyat untuk menukar kerajaan hingga mereka takut untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya.

"Tukar atau tidak kerajaan itu, ia urusan pengundi, bukan Umno-BN," katanya sambil menyifatkan peralihan kuasa akan berlaku dengan aman dan damai Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya nanti.
Umno-BN tegasnya, perlu menghormati hak rakyat untuk memberi mandat kepada kerajaan baru yang akan dibentuk menerusi pilihan raya.

"Sistem pilihan raya adalah jaminan peralihan kuasa dengan aman dan damai.

"... tiada pertumpahan darah di empat negeri," jelasnya.

Dalam pada itu, Presiden Multaqa Asatizah & Du’at (Murshid), Dr Zaharuddin Abd Rahman berkata, seseorang pemimpin negara yang hendak dipilih bukan sahaja baik agama dan solatnya malah kemahiran mentadbir dan mewujudkan hubungan dengan rakyat juga perlu dimiliki jika ingin terus terlibat dalam politik.

"Orang Cina pun tengok wibawa, orang Melayu pula tengok parti. Tak kira teruk mana pun Melayu itu, mereka tetap pangkah," katanya sambil tahap pendidikan tidak menjamin kejayaan bagi sesesorang ahli politik itu.

"Kalau tak tahan maki, jangan masuk politik di Malaysia," katanya.

| | Read More »

Detik Bersejarah - Dun Pertama Terbubar

Dun Negeri Sembilan terbubar, lembaran baru sejarahSuasana di luar bangunan Dewan Undangan Negeri kira-kira 10 minit selepas ia terbubar dengan sendiri tengah malam tadi. - Foto ihsan tweet Philip Golingai
PRU13Tarikh pembubaran automatik
[DIKEMAS KINI] SHAH ALAM - Sistem pentadbiran dan pilihan raya negara ini menyaksikan satu lagi detik bersejarah apabila Dewan Undangan Negeri (Dun) Negeri Sembilan terbubar dengan sendiri hari ini.
Mandat semasa kerajaan Negeri Sembilan berakhir tengah malam tadi, membolehkan pilihan raya diadakan dalam tempoh 60 hari. Ini kali pertama Dun sebuah kerajaan negeri terbubar dengan sendiri - berbeza dengan apa yang disaksikan sepanjang 12 pilihan raya umum yang lalu.
Dun terbubar dengan sendiri di sebalik spekulasi berterusan Parlimen akan dibubarkan. Ketika ditemui wartawan di Seremban semalam, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Adun negeri itu perlu terus berkhidmat kepada rakyat di kawasan masing-masing walaupun tidak lagi bergelar 'Yang Berhormat' selepas pembubaran Dun secara automatik.
Kata beliau, biarpun mandat rakyat selepas dipilih pada Pilihan Raya Umum 2008 tamat, mereka masih boleh menabur bakti sebagai anggota atau pemimpin dalam parti politik masing-masing.
Beliau yang juga Adun Rantau berkata, semua Adun terutama daripada Barisan Nasional (BN) perlu memainkan peranan itu bagi memastikan masalah rakyat dapat diselesaikan dan meningkatkan sokongan mereka terhadap BN.
Parlimen penggal ke-12 akan terbubar secara automatik pada 30 April ini dan Dun Negeri Sembilan pula merupakan Dewan pertama yang terbubar sendiri iaitu tengah malam tadi. Mohamad berkata, beliau telah menghadap Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini bagi memaklumkan Dun akan terbubar secara sendiri dan memberi taklimat kepada baginda mengenai fungsi kerajaan sementara untuk menguruskan negeri.
Katanya, kerajaan sementara itu tidak akan membuat keputusan besar dan hanya meneruskan apa yang telah dilaksanakan sebelum ini selain mengurus soal kebajikan rakyat dan penjawat awam. Lazimnya, hampir kesemua Dun dan Parlimen telah dibubarkan serentak sepanjang 12 pilihan raya umum lalu. Malah ini juga kali pertama Dun negeri yang diperintah oleh BN terbubar dengan sendiri sementara mandat penggal ke-12 Parlimen berterusan.
Kesemua negeri kecuali Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor diperintah oleh perikatan bernama Pakatan Rakyat.
Pada 8 Mac lalu, BN memenangi 21 kerusi manakala Pas (satu), DAP (10) dan PKR (empat). Pada Oktober 2009, BN menerusi calonnya Tan Sri Isa Samad mengekalkan kerusi Dun Bagan Pinang.

| | Read More »

Dikuasakan oleh Blogger.

Inilah Kehidupan, ISLAM itu bukanlah agama semata, ISLAM itu adalah kehidupan, mengajarkan kita setiap perkara mengenai kehidupan dari sekecil perkara sehingga sebesar perkara.