Calon PRU perlu hati-hati, terpaksa tanggung kesalahan ejen

at Ahad, 7 April 2013 [ 6:46 PTG ]

PUTRAJAYA - Calon-calon yang bakal bertanding pada pilihan raya umum perlu berhati-hati dengan tindakan ejen pilihan raya masing-masing kerana mereka bertanggungjawab ke atas apa jua tindakan ejen itu, kata Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail (gambar).

Beliau berkata, mahkamah memutuskan mana-mana individu, termasuk pekerja am sesebuah parti politik yang aktif untuk mempromosi kempen pilihan raya bagi calon itu tidak boleh memburuk-burukkan calon lawan kerana ia menyalahi subseksyen 11(1)(c) atau subseksyen 11(1)(d) Akta Kesalahan Pilihan Raya.

"Dalam kes Harris Mohd. Salleh lawan The Returning Officer, Ismail Majin & Ors (And Another Petition) 2001, maksud ejen telah diberikan tafsiran yang lebih luas. Mahkamah memutuskan mana-mana orang (termasuk pekerja am sesebuah parti politik) yang bekerja dengan aktif untuk mempromosi kempen pilihan raya untuk calon tersebut yang memburuk-burukkan calon lawan dengan menyalahi subseksyen 11(1)(c) atau subseksyen 11(1)(d) (penerbitan yang mengandungi pernyataan palsu mengenai fakta berkenaan peribadi atau tingkah laku calon) Akta Kesalahan Pilihan Raya. Memburuk-burukkan orang kalau tak ada bukti adalah satu kesalahan dan boleh dituduh di mahkamah. Selain itu, keputusan pilihan raya (di kawasan itu) boleh diisytiharkan tidak sah dan terbatal," katanya dalam satu temu bual baru-baru ini.

Menurut beliau, pekerja am parti politik itu boleh dianggap sebagai ejen kepada calon berkenaan jika tindakan mereka telah dipersetujui secara nyata atau tersirat oleh calon berkenaan dan calon itu bertanggungjawab terhadap tindakan ejen itu.

Abdul Gani berkata, mana-mana pegawai awam tidak boleh dilantik atau diminta untuk melaksanakan tugas yang boleh dianggap sebagai ejen bagi tujuan kempen pilihan raya dan tidak harus dilibatkan dalam aktiviti politik melainkan kumpulan pegawai yang dibenarkan mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

"Anggota kerajaan sementara harus bekerja dengan pegawai awam bagi maksud menjalankan tugas rasmi sebagai seorang menteri," katanya.

Beliau berkata, kerajaan sementara boleh menggunakan papan tanda dan pengurusan bahan pengiklanan serta kempen kerajaan yang melibatkan kepentingan awam sahaja.

Sambil memberi contoh, katanya, papan tanda sedemikian ialah seperti kempen kesihatan, pembasmian gejala sosial dan pematuhan undang-undang jalan raya atau mempromosi maklumat berkenaan kesihatan komuniti seperti penyebaran penyakit berjangkit dan amaran jangkitan nyamuk dan lain-lain.

Abdul Gani turut menjelaskan penggunaan laman web kerajaan hanya untuk maklumat mengenai polisi dan program kerajaan yang sedang dijalankan dan sedia ada dan ia tidak boleh disalahgunakan.

Ikuti kami melalui RSS 2.0.
Komen
Kongsi
Recomendations

Dikuasakan oleh Blogger.

Inilah Kehidupan, ISLAM itu bukanlah agama semata, ISLAM itu adalah kehidupan, mengajarkan kita setiap perkara mengenai kehidupan dari sekecil perkara sehingga sebesar perkara.